+10 344 123 64 77

Halaman

09 November 2010

Dikir Barat Peringkat Kebangsaan 2010

Kementerian Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui agensi dibawahnya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru sahaja menganjurkan Pertandingan Akhir Dikir Barat 2010 pada 29 Oktober 2010 lalu, dan disiarkan secara langsung di TV1. Pertandingan akhir ini telah diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. 



Pada tahun ini dua kumpulan dianggap terbaik telah dipilih untuk bertanding ke peringkat kebangsaan setelah melalui pertandingan peringkat separuh akhir di dewan Uitm, Machang Kelantan. Kumpulan Sri Gedombak, Pasir Puteh, Kelantan bersaing dengan Kumpulan Titih Pusaka Dalam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Ia juga mencetus sejarah kerana sebelum ini tiada kumpulan Dikir Barat dari luar negeri kelahirannya berjaya ke peringkat akhir dan kebangsaan. 

Kumpulan Sri Gedombak pernah menjuarai Dikir Barat Peringkat Kebangsaan pada tahun 2006. Pada kali ini juara keseluruhan pertandingan akhir Dikir Barat 2010 jatuh kepada Kumpulan Titih Pusaka Dalam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Juara membawa pulang wang tunai RM20,000 dan mereka juga berjaya memenangi kategori Tok Jogho Terbaik dan Persembahan Terbaik yang masing-masing membawa pulang RM3,000 beserta piala dan sijil penyertaan. 

Maklumat yang diperolehi daripada blog lain, adalah difahamkan kedua-dua tukang karut terdiri daripada pelajar IPTA iaitu saudara Muslih Aling @ Muslih Sang Saka dari UIAM, Gombak, dan Isey Salok Madu dari UiTM Shah Alam merupakan sahabat baik dan berguru dengan guru yang sama.

Adalah diharapkan masa-masa mendatang pihak kerajaan tidak hanya sekadar menganjurkan pertandingan dikir barat peringkat kebangsaan sahaja tetapi juga di peringkat antarabangsa. Kesenian seperti inilah yang patut dinaikkan sehingga ke peringkat lebih global. Secara realitinya  aktivis-aktivis seni budaya dikir barat melalui persatuan boleh bergabung tenaga dengan pihak kerajaan bagi merealisasikannya tetapi adakah aktivis-aktivis dikir boleh duduk semeja?...persoalan ini susah juga untuk dijawab.

Akan tetapi usaha kerajaan memartabatkan dikir barat sebagai satu kesenian yang tidak boleh tidak diketepikan begitu sahaja harus dipuji dengan mengadakan pertandingan akhir dikir barat setiap tahun. Disiarkan pula secara langsung dan siaran ulangan di tv. 







0 comments:

Catat Ulasan