+10 344 123 64 77

Halaman

23 September 2011

Platun Harimau: Siapakah Black Jacket??

Ramai yang tidak sedar, setiap Khamis di TV2 jam 9.00 mlm menyiarkan drama bersiri 'Platun Harimau' yang bercorak ketenteraan dalam menentang insurgensi atau pengganas komunis tahun-tahun 70-80an.

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan kerap menyiarkan drama-drama bersiri yang bermutu melalui TV2 sebelum ini. Ini dapat mengubah tanggapan RTM hanya dilonggokkan drama-drama kurang bermutu dan sampah.


Drama ini juga mengingatkan cerita-cerita ayahanda saya semasa berkhidmat sebagai anggota tentera di mana rakan seperjuangan gugur di hadapan matanya sendiri ditembak oleh Komunis DURJANA. Sanusi, menurut ayahanda semasa berkhidmat dengan Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) ingin bersarapan tiba-tiba ditembak Komunis di kepala dan rebah di situ juga. Foto hitam putih Allahyarham bergambar dengan ayahanda saya masih disimpan sehingga kini. Bayangkan anda sekiranya berhadapan dengan situasi seperti ini.

Apabila ada individu warganegara Malaysia sendiri lebih-lebih lagi orang Melayu beragama Islam mempertikaikan pengorbanan anggota keselamatan yang memerah keringat mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara pada ketika itu saya agak terkilan, marah, kecewa dan berbaur perasaan yang berbagai-bagai.

Disebabkan atas dasar kepentingan naluri politik melulu dan cetek, individu tersebut dengan mudah mengangkat Orang Melayu Islam yang menyertai Komunis, pengkhianat negara yang telah membunuh ramai wira-wira polis di Balai Bukit Kepong, orang-orang Melayu, Cina dan India diangkat sebagai hero.

Maaf, saya tidak bercakap dan menyentuh hal politik kerana blog ini bukanlah blog politik. Saya bercakap di atas dasar seorang anak kepada wira negara dan saya juga pernah menganggotai Rejimen Askar Wataniah (AW) beberapa tahun dulu.

Saya sendiri diberitahu oleh arwah bapa mertua dan bagaimana beliau bersama platunnya mempertahankan Bukit Yong di Pasir Puteh, Kelantan dari ditawan Komunis era 60-70an dahulu.

Cubalah individu tersebut berada pada zaman itu, saya pasti 100% beliau tidak sanggup menghadapi suasana darurat. Sedangkan ramai dikalangan ahli parti yang diterajui beliau tidak bersetuju, beliau mengambil langkah tidak akan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Apa yang saya amat-amat kesalkan kerana individu itu seorang yang beragama Islam dan seorang Melayu yang hidup selepas merdeka dan jawatan yang individu itu pegang kini adalah kebebasan yang diperolehi dari titik peluh dan titisan darah wira-wira terdahulu yang berkorban harta nyawa.

Berbalik kepada drama bersiri 'Platun Harimau', ianya diadaptasi daripada sebuah novel perang karya Leftenan Kolonel Mohd Radzi Abd Hamid, berdasarkan kisah benar kegigihan perajurit Tentera Darat khususnya Rejimen Askar Melayu Diraja ketika menggempur kubu-kubu kuat pengganas komunis sekitar tahun 1980an. Dalam misi menjaga keamanan negara,terselit juga kisah cinta diantara Lt Fauzi dan Inspektor Baini.
 
Drama 13 episod itu menjalani penggambaran di Kem Tapah, Pusat Latihan Peperangan Khas (kem latihan komando), Markas Taktikal Kem Banding, Markas Taktikal Kem Gubir, Kem Klian Intan, Kem Erskin, Tanah Perkuburan Kuala Woh, Kampung Changkat, Pekan Chenderiang dan kawasan hutan di Perak.
Fakta platun harimau :
  • Kisah benar kegigihan perajurit Tentera Darat khususnya Rejimen Askar Melayu Diraja ketika menggempur kubu-kubu kuat pengganas komunis sekitar tahun 1980an.
  • menjalani penggambaran di Kem Tapah, Pusat Latihan Peperangan Khas (kem latihan komando), Markas Taktikal Kem Banding, Markas Taktikal Kem Gubir, Kem Klian Intan, Kem Erskin, Tanah Perkuburan Kuala Woh, Kampung Changkat, Pekan Chenderiang dan kawasan hutan di Perak.
  • mendapat kerjasama daripada 250 anggota tentera yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pembikinan drama ini.
  • mengambil masa penyelidikan selama dua tahun dan penggambaran selama 40 hari untuk memberi kesedaran kepada generasi muda tentang pahit jerih menentang komunis.
  • drama ini adalah cerita sebenar yang dilalui Tentera Darat yang menerima tentangan hebat pengganas komunis yang dikenali sebagai Black Jacket.
  • pihak produksi Nadirasa Budaya mendapat kerjasama serta sokongan padu dari pihak tentera,namun terpaksa akur kerana sukar mendapatkan peralatan berkaitan ketenteraan untuk zaman 1980-an, saperti baju celoreng, jip dan helikopter nuri yang digunakan pada waktu itu.
Platun Harimau membariskan ramai pelakon hebat di antaranya :



  • Norman Hakim
  • Safura Ya’cob
  • Yatt
  • Zamarul Hisham
  • Zul Zuhaimi
  • Watie Elite
  • Zaidi Omar
  • Wendy Wong
  • Rosnah Mat Aris
  • Zarina Akademi Fantasia
  • Afzan Anak Wayang

Sumber : sinema malaysia
 
*Alangkah bagusnya jika drama ini tidak diselang-seli dengan iklan. Uuntuk menghayati  jalan cerita yang sebegitu bagus membuatkan kita terganggu. Sekiranya Kementerian berkenaan ingin mendidik penonton dengan nilai-nilai kewarganegaraan dan semangat cintakan negara dan sejarah, tidak perlulah iklan. Tidak perlulah Kementerian bercakap berdegar-degar tetapi tanggungjawab pendidikan itu tidak ada. Cerita yang dianggap sampah juga tidak diganggu dengan iklan akan jadi seronok untuk ditonton. Apalagi cerita yang bermutu. 










0 comments:

Catat Ulasan