+10 344 123 64 77

Halaman

28 Julai 2010

Komando Maut

Komando maut payung terjun gagal terbuka

JERTIH: Seorang anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) dari Rejimen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Bukit Jugra, Banting, Selangor, terbunuh selepas payung terjunnya gagal berfungsi ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Gong Kedak di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari, Laskar Udara Kanan Hasnizam Abd Wahid, 26, yang melakukan terjunan dari pesawat pengangkut Caribou pada ketinggian 1,200 meter dari paras laut, terhempas di kawasan lapang, kira-kira 100 meter dari kuarters pegawai pangkalan berkenaan.

foto sekadar hiasan
IBU, Nik Hasnah Nik Yeh mencium kain pemberian Hasnizam (gambar kecil) sambil diperhatikan anak bongsunya, Nurul Fatihah ketika di rumahnya, dekat Simpang Lima, Batu Pahat, Johor, semalam.
Seorang lagi anggota PASKAU, Laskar Udara Kanan Mohd Eddy Effendy, 22, pula cedera ringan selepas dikatakan mendarat di atas bumbung blok kediaman pangkalan itu.
Kedua-dua anggota terbabit adalah sebahagian daripada 26 anggota PASKAU yang menyertai Kursus Terjun Statik Tempur Siri 1/2010.


Menurut sumber, Hasnizam yang ditemui cedera teruk di kepala dan beberapa bahagian badan, dikejarkan ke Hospital Besut tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 3.59 petang. Mangsa berasal dari Simpang Lima, Batu Pahat, Johor dan sudah tujuh tahun berkhidmat dengan PASKAU.


Sementara itu, Mohd Eddy diberi rawatan pesakit luar di hospital sama sebelum dibenarkan keluar, kira-kira jam 3.30 petang.

Bagaimanapun, kenyataan Unit Komunikasi Korporat TUDM yang dikeluarkan di Kuala Lumpur tidak menyebut insiden membabitkan Mohd Eddy.

Dalam kenyataan itu, TUDM hanya mengesahkan Hasnizam maut dalam insiden ketika menjalani latihan penerjunan dan satu lembaga siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Jenazah Allahyarham diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai dari Pangkalan Udara Gong Kedak, kira-kira jam 9 malam tadi menggunakan pesawat pengangkut, C-130H sebelum dibawa menggunakan jalan darat ke kampungnya di Jalan Peserai Kecil, Simpang Lima, Batu Pahat untuk dikebumikan.

Oleh Suhana Roslan dan Mohammad Ishak

sumber dipetik Berita Harian Online










 

0 comments:

Catat Ulasan