+10 344 123 64 77

Halaman

15 Jun 2010

Yusni Jaafar

Yusni Jaafar Siddik (lahir 1945) merupakan pelakon wanita di Malaysia yang popular dengan watak komedi melalui filem-filem era 1980an. Yusni Jaafar yang dilahirkan di Tumpat, Kelantan, pertama kali muncul dalam filem Panglima Badol pada 1978. Beliau juga merupakan adik kepada seniwati Kasma Booty.
Yusni lahir dalam sebuah keluarga yang sememangnya berdarah seni. Orang tuanya yang berasal dari Medan, Indonesia, ialah pelakon teater tradisional bangsawan, sewaktu mereka merantau ke negara ini. Sebagai pemain bangsawan, ibu bapanya merantau ke serata Malaysia dan Singapura. Ketika mereka bersama kumpulan bangsawan ini membuat persembahan di Tumpat, Kelantan itulah Yusni telah dilahirkan. Diceritakan juga Yusni menerima pelajaran tidak formal ketika bergerak bersama-sama kumpulan bangsawan bapanya. Antara guru beliau ialah Aziz M Osman yang mengajarnya bahasa Inggeris.

Yusni juga seorang anak seni yang dilihat mempunyai kebolehan dalam bidang nyanyian dan pernah menyanyi secara trio Suria Booty, Purnama Booty dan Kesuma Booty di Hotel Park Royal. Muzik yang dimainkan adalah bernuansa jazz.

Namun setelah mendapat undangan daripada A R Badul untuk muncul dalam program lawak jenaka di kaca TV, penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada 1985 daripada Sultan Pahang itu mula menunjukkan bakatnya sebagai pelawak.

Antara pencapaian Yusni Jaafar sepanjang bergelar anak seni ialah memenangi Pelakon Wanita Komedi Terbaik pada Pesta Filem Malaysia ke-8 pada 1989.
Perkahwinan

Beliau telah berkahwin dengan Raja Ibrahim Raja Mansor dan dikurniakan 5 orang anak iaitu Raja Iskandar, Raja Ema, Raja Izat, Raja Emy dan Raja Irna. Raja Ema adalah anak beliau yang mengikut jejak beliau sebagai seorang pelakon dan penyanyi yang popular pada akhir 80-an dan awal 90-an.

Yusni Jaafar telah menghembuskan nafas terakhir pada 2.30 pagi, 1 April 2008 di Hospital Selayang, Selangor, akibat kegagalan hati pada usia 63 tahun. Lakonan terakhir beliau ialah dalam filem Cuci pada tahun 2007. Beliau telah berlakon dalam kira-kira 20 filem tempatan.

Filem pernah dilakonkan:

    * Cuci (2007)
    * Tak Ori Tapi Ok (2005)
    * Laila Isabella (2003)
    * Soalnya Siapa? (2002)
    * Senario the Movie (1999)
    * Penghujung Malam (1992)
    * Pening-pening Lalat (1990)
    * Driving School (1990)
    * Antara Dua Hati (1989)
    * Dendang Remaja (1988)
    * Guru Badul (1988)
    * Gila-gila Remaja (1986)
    * Hantu Siang (1986)
    * Balik Kampung (1986)
    * Sikit Punya Gila (1982)
    * Setinggan (1981)
    * Panglima Badol (1978)

Drama & Sitkom:

    * Wali
    * Sambal
    * Tanah Kubur (Drama)
    * Santan Berlada

kredit: wikipedia





  

0 comments:

Catat Ulasan