+10 344 123 64 77

Halaman

02 Mei 2010

Pengawal istana ditembak

Oleh Rodelio Junjun Taucan
rodelio.taucan@utusan.com.my

Istana Negeri Kubang Kerian, tempat bertugas Ramli Mohamad (gambar kecil) yang cedera parah ditembak, semalam.

KOTA BHARU 1 Mei - Seorang pengawal keselamatan keluarga Diraja Kelantan cedera parah selepas ditembak di dada oleh individu tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, tengah malam tadi dalam satu kejadian yang menimbulkan misteri kerana tidak dapat dipastikan motifnya.
Ramli Mohamad, 50, ditembak empat das oleh empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tumpat dengan menaiki motosikal seorang diri.

Akibat kejadian pada pukul 12.25 tengah malam itu yang turut menggemparkan rakyat negeri tersebut, salah satu peluru dilepaskan suspek mengenai dada mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan suspek.

Beliau berkata, polis kini sedang meneliti latar belakang mangsa bagi mengetahui motif kejadian itu.

"Siasatan akan dilakukan oleh kontinjen negeri dengan meliputi semua aspek," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Sementara itu, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, sebelum kejadian, mangsa baru selesai menjalankan tugas di Istana Negeri kira-kira pukul 12 tengah malam.

Jelasnya, mangsa yang masih sedar mengalami kecederaan parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

"Ketika ini, sebutir peluru masih berada di bahagian kanan dada mangsa.

"Mangsa dikejarkan ke hospital kira-kira pukul 1 pagi dan saya telah melawat serta bercakap dengannya.

"Mangsa berada dalam keadaan serius kerana peluru itu masih belum dapat dikeluarkan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Menurut Abdul Halim, Ramli merupakan antara lima pengawal keselamatan yang dilantik Istana Kelantan secara kontrak untuk mengawal keselamatan keluarga diraja itu.

Katanya, pada masa sama, mangsa turut membantu tugas pengawal peribadi Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Jelasnya, mangsa telah bertugas dengan Istana Kelantan selama 17 tahun dan sebelum itu dia merupakan bekas anggota tentera selama 15 tahun.

"Mangsa sentiasa memberi komitmen ketika bertugas dan tidak pernah menghadapi sebarang masalah.

"Kita masih tidak tahu apa motif kejadian itu dan berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan untuk mengesan suspek," katanya.

Tambah beliau, Pemangku Raja Kelantan telah menitahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi menyiasat segera kes itu secara terperinci.

0 comments:

Catat Ulasan