+10 344 123 64 77

Halaman

12 April 2010

Budak kelantan







DUA sahabat yang sekian lama terpisah bertemu semula di kota. Dua pemuda yang akrab semasa kecil di desa nyata dua individu yang berbeza apabila di kota.
Seorang terus menjadi anak muda yang jujur, bersih hati dan taat pada agama sementara seorang lagi menjadi anak muda yang licik dan keras.
Kedua-duanya menggunakan ruang dan peluang yang ada di kota untuk meneruskan kehidupan.
Buchek (Danny X Factor) yang lulus universiti berniaga sambilan sebelum memperoleh pekerjaan yang sesuai, manakala Jaha (Mohd. Asrulfaizal yang memperlihatkan lakonan yang dinamis) sekadar tamat persekolahan meneruskan kehidupannya yang keras dengan kegiatan samseng.
Buchek beruntung, di kota dia tinggal dalam lingkungan yang baik terutama dengan adanya Mat Min (Che Kem) yang sering menasihatinya, tetapi hidup Jaha dikelilingi oleh teman-temannya yang lebih mengaguminya kerana ‘gedebe’ dan kehandalannya menawan wanita hingga dia digelar Mr. America disebabkan gaya hidupnya itu.
Budak Kelantan lakon layar dan filem arahan pertama Wan Azli Wan Jusuh yang sebelum ini lebih dikenali sebagai dramatis muda yang berkemampuan dengan karyanya antara lain Aghi Ni Jadi Jahat, Kaler Magenta dan Supertui.
Filem Budak Kelantan memfokuskan kepada potret kehidupan anak muda Kelantan yang berhijrah ke kota.
Disebabkan pengarahnya sendiri berasal dari Kelantan maka sudah semestinya dia cukup memahami dalam memberikan gambaran yang realistik tentang kehidupan anak muda Kelantan di kota.
Kesan realistik ini diperkuat dengan penggunaan dialek Kelantan hampir pada keseluruhan filem ini dan dibantu oleh para pelakonnya juga hampir keseluruhan berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Tetapi kehidupan yang dipaparkan dalam filem ini melampaui dunia kecil kelompok anak muda Kelantan itu sendiri.
Filem ini bercerita tentang impian dan harapan anak muda yang sebahagiannya terperangkap dengan lingkungannya dan cuba hendak keluar dari lingkungan tersebut.
Itulah yang berlaku kepada Jaha atau nama sebenarnya Azhar yang sekian lama berada dalam lingkungan kehidupan keras.
Dia tidak berpeluang belajar ke peringkat tinggi tetapi dengan kemahiran dan kelicikannya, dia mampu meneruskan kehidupannya di kota.
Jaha menipu wanita dan melakukan jenayah untuk hidup di kota. Tetapi pertemuan dengan Buchek sebenarnya secara di luar sedar telah membawa kembali Jaha kepada kehidupan murninya semasa kecil.
Anak muda itu kembali mengingati detik-detik dia bersama Buchek semasa mengaji al-Quran atau ketika bermain dan bergaduh.
Jaha yang selama ini licik dan menganggap wanita umpama barang yang mudah diperlekeh merasa terpukul apabila dia bertemu Norlaila atau Cik Nor (Bienda) teman wanita Buchek yang cuba diganggunya, tetapi tidak mahu memaafkan dan menerima Jaha yang mula tertarik dengannya.
Budak Kelantan sebagai sebuah filem yang mengangkat tema persahabatan bergerak dalam struktur cerita yang disusun mengundur ke belakang untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku antara Buchek dan Jaha.
Cerita sebenar bermula dengan Buchek membaca surat Jaha yang diberikan kepadanya oleh Lbong (Md. Eyzendy Md. Aziz) teman serumah Jaha.
Menerusi surat Jaha yang mencurahkan perasaan dan kekesalannya itulah Buchek mengimbas semula pertemuan dengan sahabat sekampung di kota.
Pertemuan itu sedikit demi sedikit mendedahkan kehidupan Jaha yang tragis sehingga Buchek sanggup mengambil tindakan mahu menemukan Cik Nor dengan Jaha jika itu dapat menginsafkan sahabatnya kearah kebaikan.
Tetapi Jaha menemui kecelakaan sebelum sempat bertemu Buchek dan Cik Nor.
Biarpun tragedi yang berlaku kepada Jaha dianggap hukuman kepadanya, sebaliknya, ia juga merupakan peleraian yang lazim kepada filem-filem dalam genre sahabat.
Dalam filem genre begini, hubungan dua individu sahabat yang awalnya berlainan ideologi akan menemui satu titik persamaan setelah beberapa ketika melalui pertentangan.
Buchek mempunyai pegangan agama yang kuat dan pendidikan tinggi hingga ke universiti membantunya menilai erti kehidupan di kota.
Sedangkan Jaha hanya berpegang kepada keyakinan dirinya mengharung kehidupan di kota dan teman-teman sekeliling yang kehidupan mereka sama dengannya gagal membantu Jaha menilai erti kehidupan.
Dua bentuk pegangan hidup tersebut bertentangan bila mereka bertemu dan pertentangan itu merupakan perjalanan untuk mereka saling memahami dan mencapai titik persamaan ideologi.
Apabila titik persamaan itu dicapai maka individu itu juga akan menemui akhiran dalam hidupnya.
Dalam konteks analisis genre, pendekatan dan penamat yang lazim begini dapat dilihat dalam filem-filem genre sahabat (buddy movies) seperti dalam filem Easy Rider (Dennis Hopper, 1969), Scarecrow (Jerry Schatzberg, 1973) ataupun A Perfect World (Clint Eastwood, 1993).
Filem Budak Kelantan yang agak kasar dan dihasilkan secara video digital menepati konsep filem ini yang memperlihatkan kehidupan kasar anak-anak muda ini.
Filem ini sekali gus memperlihatkan potensi dan keupayaan Wan Azli dalam mengemukakan struktur dramatik yang agak terkeluar daripada pendekatan konvensional filem Melayu.
Budak Kelantan dimulakan dengan susunan plot yang baik tentang realiti kehidupan anak-anak muda Kelantan di kota. Sebagai latar gambaran, kehidupan Jaha digambar dengan cukup dramatik, tetapi susunan plot ini terganggu apabila Wan Azli mewujudkan sub plot lemah Jaha mencolek seorang gadis Cina yang sedang berjoging dan dalam suasana cemas, boleh pula ada adegan meminta nombor telefon.
Sungguhpun ia dijadikan alasan untuk kemudian Buchek berkenalan lanjut dengan gadis tersebut tetapi Wan Azli tentu mempunyai pelbagai pilihan lain untuk mewujudkan sub plotnya.
Apatah lagi hubungan tersebut tidak banyak memberi sumbangan kepada plot utama sebaliknya, melemahkan struktur cerita yang sudah sedia kuat hinggakan memberi kesan kepada adegan penamat filem ini.

1 ulasan:

  1. cerita menarik tp byk yg negatif ttg org klantan buat org luar pk negatif gak..akan dtg kn buat cerita yg mggmbrkn org2 klantan sebaik2 org pantai timur tmsuk trengganu & phg..tak perlu buka pekung sendiri

    BalasPadam