+10 344 123 64 77

Halaman

20 Mei 2010

Pengawal keselamatan Istana Kelantan meninggal

Maznah Mustafa (kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika menunggu jenazah suaminya, Allahyarham Ramli Mohd. di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam. 

KOTA BHARU 19 Mei - Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohd., 50, yang
ditembak penyerang misteri ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada 1 Mei lalu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini awal pagi ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.23 pagi di sisi isterinya, Maznah Mustafa dan lima orang anaknya selepas 19 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.

Jenazah Ramli dibedah siasat pakar forensik yang tiba daripada Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Masjid Muhammadi selepas solat Maghrib untuk disembahyangkan dan dikebumikan di kampung halamannya di Kok Keli, Tumpat.

Allahyarham merupakan bekas tentera dan berkhidmat sebagai pengawal keselamatan secara kontrak dengan Istana Kelantan sejak 17 tahun lalu.

Berikutan itu, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra mahu polis meletakkan keutamaan kepada kes Allahyarham.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad yang memaklumkan titah itu berkata, baginda berharap polis akan dapat menemui petunjuk bagi menyelesaikan segera kes pembunuhan itu.

"Pemangku Raja Kelantan amat berdukacita dengan apa yang berlaku dan baginda berharap polis dapat meletakkan keutamaan kepada kes ini.

"Baginda juga menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ramli," katanya kepada pemberita di Rumah Mayat HRPZ II.

Pemangku Raja turut merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor-doktor pakar di HRPZ II yang selama ini telah bertungkus lumus memberikan rawatan terbaik kepada Allahyarham.

Semalam, Ramli dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan baginda telah menziarahi Allahyarham malam tadi dan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada keluarga Ramli.

Ramli ditembak pada pukul 12.25 tengah malam 1 Mei lalu oleh individu tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang di Tumpat.

Sehingga kini, motif kejadian tersebut masih menimbulkan tanda tanya walaupun polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori," katanya.

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my



0 comments:

Catat Ulasan