+10 344 123 64 77

Halaman

25 November 2013

KISAH DOCNAN JUTAWAN T-SHIRT

Bergelar doktor di pangkal nama tetapi terlibat dalam perniagaan sulaman dan cetakan memang jauh sekali kaitannya.

Awalnya ia banyak mengundang pertanyaan para pelanggan yang mungkin menganggap beliau bekas pelajar perubatan yang tidak sempat menyelesaikan pengajian atau sekadar gimik bagi mencuri tumpuan ramai.

Lali dengan pertanyaan serupa, Dr. Wan Hasnan Wan Idris, 37, hanya tersenyum dan menjawab: Saya belajar enam tahun di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) sehingga mendapat gelaran itu.

Tetapi rezeki saya di bidang ini (sulaman), saya pupuk, pelihara dan belajar sedikit demi sedikit, hari demi hari.

Hasnan, anak kelahiran Pengkalan Kubor, Tumpat ini hanya bermodalkan minat dan syarikatnya, Docnan Industries Sdn. Bhd. kini merupakan salah sebuah pusat sulaman berkomputer terbesar di Pantai Timur.



                                      Docnan (kanan) bersama usahawan Cap Ayam(kiri)


Pada masa kini, urus niaganya di Pengkalan Chepa mencatatkan perolehan sebanyak RM300,000 sebulan sekali gus memberikan keyakinan kepadanya untuk berada pada kedudukan tersendiri dalam bidang sulaman ini pada masa depan.

Menggunakan teknologi moden dan canggih, mesin sulaman yang diimport dari China, Amerika Syarikat dan Australia yang berjumlah 47 buah (kepala mesin) bernilai RM1.2 juta berupaya menyulam logo sebanyak 1,500 sehari.

Docnan menawarkan perkhidmatan sulaman, cetakan skrin pada baju T, kemeja, beg, topi dan tuala menggunakan mesin silkscreen automatik, cetakan inkjet untuk skala lebih besar seperti kain rentang, ukiran kaedah laser, pad print dan jahitan.

Menceritakan penglibatan awalnya, anak kedua daripada tiga beradik ini enggan bergelar penganggur sebaik menggenggam ijazah lantas melakukan kerja-kerja sampingan yang mendatangkan hasil termasuk hampir tiga bulan bekerja di sebuah ladang di Selangor.

Apabila berhenti dan balik kampung macam-macam saya terima, antara keluhan simpati ahli keluarga dan tidak kurang juga sindiran kerana kelulusan ijazah bukan jaminan mendapat pekerjaan setimpal.

Tanpa mempedulikan andaian sesiapa, tahun 1999, bermodalkan RM500 saya mencetak baju T dengan mengambil upah daripada pelajar kolej, satu pekerjaan yang biasa saya lakukan ketika di kampus bersama rakan-rakan.

Secara beransur-ansur sambutan menggalakkan, saya membulatkan tekad lebih serius sungguhpun ia bukan bidang kemahiran. Kawan-kawan dalam bidang yang sama banyak membantu di samping buku dan bahan-bahan berkaitan dalam Internet sebagai rujukan, katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Hasnan berjaya mempraktikkan panduan dan tunjuk ajar rakan-rakan walaupun di peringkat awal dulu banyak masa, tenaga yang dilaburkan malah berhelai-helai pula pakaian yang rosak.

Pengalaman amat mahal nilainya kerana selepas tiga tahun, baru saya memperoleh teknik yang betul dan memahami selok belok mencetak menggunakan kaedah manual.

Impiannya untuk muncul sebagai usahawan walaupun terpaksa melupakan segala ilmu yang dipelajari di universiti makin menampakkan hasil apabila menambah bidang tawaran perkhidmatan sulaman berkomputer.



Hasnan mengasingkan kerja-kerja mencetak dan sulaman dengan menyewa dua premis perniagaan di mana bengkel cetakan terletak di Simpang Tiga Tanjong Mas manakala sulaman di Taman Uda Murni, di sini.

Apabila kerja-kerja percetakan dilakukan di atas baju T, kemeja, beg dan pelbagai cenderamata mengikut tempahan, pelanggan selalunya akan bertanya khidmat sulaman, katanya.

Sehubungan itu, menurut bapa kepada lapan anak ini memberitahu, pada tahun 2003, hasil pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM215,000, dia membeli mesin sulaman pertama dari China bernilai RM115,000.

Tempahan yang diterima semakin banyak dan beberapa pekerja di kalangan anak tempatan diambil bagi menguruskan tempahan dan Hasnan mempromosikan perniagaannya melalui ekspo dan karnival di seluruh Kelantan.

Katanya, para pelanggan dari jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta dan persendirian mencurah datang dari serata pelosok negara kerana kualiti kerja serta mengambil tempoh masa singkat untuk disiapkan.

Berikutnya selama dua tahun berturut-turut, syarikat membawa masuk dua mesin sulaman yang baru dan seperti mesin yang awal mempunyai lapan kepala, dikawal dengan menggunakan kecanggihan komputer.

Kawalan menerusi komputer mengurangkan tenaga pekerja dan lebih efisien kerana kelapan-lapan kepala mesin berfungsi serentak ketika proses sulaman dijalankan malah menjimatkan masa dan bersih.

Sulaman yang ditawarkan bergantung pada kehendak pelanggan, logo sekolah, jabatan atau agensi dan apa sahaja lambang yang akan dihasilkan oleh dua pereka secara manual di atas lukisan sebelum mengalihkan ke komputer mengikut saiz sebenar sebelum proses sulaman, katanya.

Pusat sulaman ini menjadi tumpuan pelbagai pihak di peringkat sekolah, kolej, universiti, persatuan, syarikat korporat dan pelbagai jabatan untuk menandakan logo, nama individu, nama perniagaan pada baju T, kemeja, beg, topi dan tuala dengan bantuan 13 pekerja.

Sementara itu, kerja-kerja mencetak teknik sutera saring (silkscreen) secara automatik turut menggunakan mesin yang diimport dengan mempunyai 10 palet pencetak.

Seramai 24 pekerja melancarkan operasi di sini dengan sebahagian daripada mereka ditempatkan di bahagian reka bentuk, pentadbiran dan akaun.

Di bengkel cetakan digital ini juga para pelanggan boleh namakan apa sahaja produk untuk ditandakan dengan simbol atau logo di atas permukaan kecil seperti klip tali leher, logam pembuka surat, cenderamata, pingat dan piala sehingga permukaan lebih besar seperti rostrum disediakan.

Pelanggan juga boleh memilih cetakan dan sulaman di atas baju T dan beg yang sudah siap yang dibawa sendiri atau memilih di sudut pameran yang menawarkan lebih 100 jenis dari pelbagai fabrik dan fesyen.

Menyedari perniagaan ini yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan kerana mempunyai cabang yang saling berkait, Hasnan turut mempunyai bengkel menghasilkan pelbagai jenis beg dan kilang baju T yang mengeluarkan hampir 1,000 helai sehari.

Bagi meluaskan lagi pasaran, saya memperkenalkan perniagaan online dan mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan di luar Kelantan melalui laman web www.docnan.com.my dan www.baju2u.com, katanya.

Penerima Anugerah Usahawan Muda Mara 2007 itu menyasarkan tempoh beberapa tahun lagi untuk meletakkan perniagaan pada tahap yang membanggakannya, iaitu sebagai pusat sulaman komputer terbesar di negara ini.

0 comments:

Catat Ulasan